Monday, November 18, 2013

Kelah merah, kelah bara dan kelah biru

KELAH MERAH, BARA DAN BIRU.
         Ramai di antara kita tidak dapat membezakan di antara kelah merah , kelah bara dan kelah biru melainkan secara perbandingan dua atau lebih objek. Begitu juga saya semasa di awal proses mengenali kelah. Pembacaan sahaja tanpa merujuk gambar objek sebenar agak sukar membuat perbandingan melainkan terdapat gambar yang jelas dan penerangan yang tepat. Walau bagaimana pun banyak juga pendapat dan idea yang boleh digunapakai diperolehi dari intenet sebagai rujukan. Namun banyak yangmaklumat diperolehi bercanggah dengan fakta.
         Berikut adalah perbezaan asas tentang 3 jenis kelah yang mungkin dapat membantu anda mengenali kelah dengan lebih jitu. Saya sertakan beberapa gambar sebagai objek. Kelah merah asasnya berwarna merah. Jangan kita gambarkan merah itu sepertu warna merah sirap. Merah yang dimaksudkan adalah kemerahan yang mungkin hampir ke warna kuning merah, biru merah atau hijau merah. Ada beberapa faktor mempengaruhi warnanya, antaranya pemakanan, faktor sekeliling spt air dan tanah.
       *progress....
   

Saturday, July 13, 2013

NASIB SI IKAN HIASAN

Salam rakan-rakan semua,
             Sebagai  peminat ikan hiasan kita sepatutnya mempunyai rasa tanggungjawab dan ia bergantung kepada sejauh mana keupayaan dan kemampuan kita mengurus dan mengendalikan ikan peliharaan kita. Ini termasuklah peliharaan haiwan lain seperti kucing, arnab, kura-kura, hamster , marmut, lopster dan lain-lain. Ada pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi tabiat hidup dan kelangsungan hidup haiwan peliharaan ini dan setiap jenisnya berbeza-beza. Sebagai contoh jika ikan faktor air banyak perlu diambil kira seperti ph, kandungan ammonia, jenis makanan, suhu, cahaya, bunyi persekitaran dan lain-lain.
Itu haiwan air yang persekitarannya hidup dalam air, bagaimana pula haiwan lain seperti burung yang hidup perlukan sayap mengepak, Saiz ruang sangkar perlu sesuai, suhu juga, makanan yang sesuai juga . 
             Kini semakin banyak haiwan exotic menjadi buruan peminat seperti ular, musang, tikus, cicak dan banyak lagi. Jika kita ingin lebih pendedahan datang saja ke mana-mana kedai akuarium berhampiran rumah anda , terdapat banyak haiwan baru dijual untuk orang awam. Soalnya siapa pun boleh membeli dan membawa pulang untuk dipelihara. Kebanyakan haiwan ini bukan haiwan larangan maksudnya tidak perlu lesen untuk memeliharanya.
             Tidak salah pun jika kita mahu memelihara sebagai haiwan peliharaan tetapi biarlah yang berilmu dan berminat yang membawa pulang. Bukan atas desakan rakan-rakan atau anak-anak atau tren terkini yang nanti akhirnya si comel yang montel dan gebu itu menjadi kurus "kerempeng" sebelum ajalnya tiba. Bukankah itu teramat menyiksakan. Kita sangat maklum yang haiwan dalam kurungan tidak mampu mencari makanan sendiri apatah lagi memberi makan kepada anak-anak dalam kurungan maka biarlah kita menjadi insan yang berhati manusia yang mempunyai hati perut dan berperikemanusiaan.
Gambar Hiasan -spesis kura-kura hijau.


              Biasanya tasik dan kolam terbiar menjadi tempat sasaran peminat haiwan akuatik yang telah hilang atau pudar minat kepada haiwan peliharaanya. Ada pelbagai pendapat dikeluarkan tentang perkara ini. Ada yang kata ia akan memusnahkan ekosistem sebenar tasik  atau kolam tersebut. Maksudnya dengan melepaskan ikan pirana contonya ia akan memupuskan spesis ikan lain yang akan menjadi mangsa kerana menjadi makanan ikan pendatang baru tersebut. Antara yang disebut-sebut ialah ikan kepala buaya, ikan flower horn, ikan arapaima, ikan toman dan ikan belida. Kita tanya diri sendiri mana yang lebih baik adakah dengan mencampakkan mangsa kedalam kolam maka kolam tersebut menjadi neraka bagi ikan lain atau mana lebih baik dengan menyerahkan kembali kepada peniaga ikan hiasan lain atau berikan kepada tuan baru atau kita tamatkan saja riwayatnya di kuali jika lalu makan. Ramai orang tidak sanggup makan ikan peliharaan walaupun pada zahirnya ia masih sama seperti ikan yang dijual di pasar awam. Perkara ini terserah kepada individu masing-masing, ada yang sanggup makan juga.
Gambar Hiasan-Spesis ikan lampan ekor merah dan kelah.

              Ada banyak sebab juga mengapa orang melepaskan ikan untuk dibebaskan ke luar antaranya ialah  kerana telah tua, sakit, tidak mahu menjamah makanan walaupun makanan terlazat diberikan, tiada pasangan hidup, peminat telah bosan dan  hilang minat, tuan lama mahu memelihara ikan baru yang lebih terkini dan ada beratus sebab lagi yang tidak perlu kita fikirkan di sini. Apa pun gunakanlah kaedah yang paling santun dan baik sebagai menghormati mereka sebab kita ambil mereka hadir bersama kita tanpa mereka minta maka lepaskanlah mereka dengan cara yang terbaik mengikut cara kita.

                                                                                                                    Memelihara kelah.com


 

Thursday, May 9, 2013

IKAN KELAH (KING MAHSEER)


Dikenali sebagai 'King of the River', kelah  hanya dijumpai di Asia seperti di India, Thailand, Malaysia dan Indonesia. Terdapat lebih daripada 19 spesies kelah yang terdapat di dunia manakala di Malaysia hanya terdapat tiga spesies iaitu Kelah Hijau , Kelah Merah dan Kelah Biru. Di setengah kawasan Kelah Merah memiliki 2 jenis warna berbeza maka mereka mengkelaskan sebagai Kelah Merah Bara atau Kelah Bara dan harga juga berbeza bergantung kepada permintaan di pasaran. Kelah lazimnya didapati di kawasan sungai berbatu dan  berarus deras pada kedudukan 500 meter dari paras laut.

Permintaan kelah yang tinggi mendorong  pemburuan Kelah yang keterlaluan. Penggunaan alat seperti bom ikan , renjatan elektrik dan pukat menyumbang kepada penghapusan kelah termasuk anak-anak kelah yang belum kuat bertarung nyawa.

Anak kelah dijual kepada peraih kelah pada harga tinggi sebelum sampai kepada pembeli atau peminat kelah dan akhirnya boleh mencecah harga  berkali-kali ganda . Sekiranya kelah dipelihara untuk tempoh tertentu ia akan membesar beberapa kali ganda saiznya dan harganya akan melambung lagi. Pembeli dari Singapura akan memborong untuk dibawa ke sana sebab permintaan di Singapura juga amat tinggi, itu pun jika ada stok .


PERBAZAAN IKAN KELAH DAN TENGAS

Tengas dan kejor (panggilan tempatan) ialah 2 spesis ikan yang hampir menyamai ikan kelah. Jika diimbas sekali, kelihatan ikan Tengas dan Kejor amat menyerupai ikan Kelah. Jika tidak mahir, anda boleh terkeliru antara kelah dan tengas/kejor. Nama saintifik ikan tengas ialah “Neolissochilus Hexagonolepis”. Ikan tengas ini juga biasa dipanggil sebagai “tengas batu”. Sementara ikan kejor ialah “Neolissochilus Soroides”.  Ikan tengas daun pula diklasifikasikan sebagai ” Poropuntius Smedleyi”.
Sebenarnya, apabila disebut “ikan kelah” memang merujuk “ikan kelah merah” yang taburannya di sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan. Sementara “ikan kelah biru” jarang ditemui dan secara geografi, taburannya biasa di kawasan Endau-Rompin. Sementara “ikan kelah hijau” adalah panggilan nama yang diguna-pakai oleh orang orang Cina (peminat dan penternak) untuk merujuk sebenarnya kepada “ikan tengas”, iaitu satu spesis yang mirip mirip kelah, dan juga dipanggil sebagai “false mahseer”. Oleh itu jangan mudah tertipu semasa membeli ikan Kelah kerana terdapat  peniaga yang menipu pembeli dengan menawarkan ikan Tengas/Kejor dengan harga setinggi Ikan Kelah kerana kedua ikan ini kelihatan sama dan sukar dibezakan.

 Ikan di atas: Ikan Kelah @ Masheer
Ikan di bawah: Ikan Tengas @ Neolissochilus Hexagonolepis
 Bulatan merah menunjukkan perbezaan bibir ikan Ikan Kelah dan Ikan Tengas.
Ikan yang dalam bulatan merah ialah ikan Kelah

Di Malaysia, Ikan Kelah mula menujukkan tanda kepupusannya. Ini kerana isinya sedap dan berharga mahal telah menjadikan permintaan terhadap Ikan Kelah terlalu tinggi. Kepupusannya bukanlah di sebabkan oleh pemancing. Saya berpendapat aktiviti memancing bukan faktor kepupusan ikan ini, tetapi segolongan manusia yang tamak untuk mengaut keuntungan cepat. Penggunaan jaring ,renjatan electric dan Bom Ikan merupakan salah satu punca ikan ini mengalami kepupusan. Telah beberapa kali ketika kunjungan saya ke Taman Negara Pahang, saya mendapati penggunaan teknik terlarang ini oleh  orang yang tidak bertangungjawab di sungai yang didiami oleh specis Ikan Kelah ini semata-mata untuk membekal ikan ini kepada peraih di pasar. Kemudian anak-anak ikan Kelah juga ditangkap untuk dibekalkan kepada pengusaha kedai aquarium untuk dijadikan ikan hiasan. Walaupun pihak Taman Negara melarang keras penggunaan jaring ,renjatan electric dan Bom Ikan di sungai yang berada di Taman Negara, orang-orang yang tidak bertanggungjawap ini masih licik hingga jaring dan bom ikan masih terlepas dan masih digunakan. Kemudian akibat kekurangan & kepupusan ikan ini para pemancing pula yang dipersalahkan.
Faktor pencemaran sungai juga merupakan faktor utama kepupusan ikan ini yang hanya tinggal di dalam sungai yang jernih dan bersih. Walaupun terdapat pemancing yang mengamalkan konsep Catch & Release, adakah usaha murni ini memberi satu perubahan tentang populasi Ikan ini. Tepuk dada tanya selera. Hanya kita mampu merubah supaya anak dan cucu kita dapat memancing salah satu ikan air tawar terhebat di Malaysia ini
 
Sumber dari Fish Hunter

PEMBENIHAN KELAH SUKAR

Pembenihan kelah sukar

Oleh Osman Lisut 












KUALA LUMPUR: Peningkatan minat orang ramai terhadap kelah (Tor Tambroides) dengan menjadikannya ikan peliharaan dalam akuarium semakin menyerlah sejak kebelakangan ini. Ia kerana keunikan ikan berkenaan yang memiliki sisik yang cantik, aktif dan bernilai tinggi.

Serupa dengan jenis ikan kap yang lain, kelah adalah omnivor dan makan bukan saja alga, krustasia, serangga, katak, dan ikan yang lain, tetapi juga buah-buahan yang jatuh daripada pokok-pokok di atas.

Bagaimanapun, spesies ikan yang mendiami sungai serta tasik, akan naik ke anak sungai yang deras serta dasar sungai yang berbatu-batan untuk bertelur amat sukar untuk dibiakkan walaupun pelbagai usaha dilakukan. Ia termasuk proses aruhan seperti dilakukan terhadap tilapia, keli, haruan, ketutu dan ikan puyu.

Tidak hairanlah, ramai penternak ikan kelah di negara ini menggunakan kaedah tradisional iaitu menjejak anak kelah yang baru menetas di air cetek sungai berbatu dengan berbekalkan lampu suluh. Anak-anak kelah begitu mudah dikesan di tengah malam kerana suluhan lampu memantulkan warna keemasan siripnya dan ia kurang aktif serta mudah ditangkap.

Bagi penternak ikan kelah merah, Othman Abdul Wahab, berkata beliau pernah bekerjasama dengan pegawai penyelidik Jabatan Perikanan Malaysia untuk menghasilkan benih kelah menerusi suntikan hormon ke atas induk ikan, bagaimanapun tidak berjaya.

“Kelah memerlukan suasana semula jadi untuk menghempas perutnya ke batu-batu di sungai berarus deras bagi mengeluarkan telurnya. Namun, apa yang berlaku kolam berbatu palsu atau ‘rock garden’ tidak sesuai dan induk kelah berkenaan tercedera dalam usahanya menghempas telur.

“Kalau usaha itu berjaya dilakukan, daripada 20,000 telur yang dikeluarkan kurang satu peratus saja berjaya menetas. Malah, kalau hidup sehingga dua sentimeter pun kurang daripada 20 ekor, ini boleh dianggap gagal,” katanya kepada wartawan Joran.

Othman berkata, beliau memperoleh benih kelah daripada beberapa peraih dan kaki pancing dari Pahang, Kelantan dan Terengganu, iaitu beberapa bulan selepas musim tengkujuh kerana ketika itulah air sungai mulai turun serta berarus deras.

Katanya, tindakan beliau menternak kelah daripada anak sebesar satu inci hinggalah dewasa bagi menyahut seruan kerajaan dalam usaha mengekalkan populasi spesies yang menghadapi kepupusan.

“Saya cuba mendidik orang ramai supaya tidak menangkap kelah semata-mata untuk dijadikan juadah makan malam atau tengah hari. Sebaliknya, sebagai ikan peliharaan di dalam rumah dan mendatangkan ketenangan apabila melihatnya berenang di dalam akuarium terutama apabila menghadapi tekanan di tempat kerja.

“Dulu, memang tidak dinafikan saya salah seorang pemburu kelah kerana amat menggemari keenakan isinya. Namun, hari ini menjadikan ikan berkenaan sebagai ternakan dan menjualnya sebagai ikan peliharaan,” katanya.

Selain daripada menjual anak kelah merah, Othman turut mengajar cara-cara menjaganya. Ia termasuk penggunaan air, pemeriksaan pH, pemilihan makanan dan rawatan sekiranya ikan peliharaan berkenaan sakit.

Maklumat lanjut mengenai pemeliharaan ikan hiasan atau kelah merah boleh hubungi Othman di 012-6587821.

INFO

  • Harga ikan kelah mati RM80 sekilogram, manakala kelah hidup RM150 sekilogram.
  • Harga ikan kelah hiasan antara RM500 hingga RM1,000 sekilogram.
  • Petikan dari Berita Harian , Joran.