Monday, February 24, 2014

Mengurus Kelah Ketika Kemarau.

Ketika musim panas paras air di sunga akan turun secara mendadak. Ikan kelah dapat mengesan perubahan ini dengan mudah melalui deria sensor yang terdapat pada tepi tubuhnya. Mereka akan bergerak ke arah hulu sungai yang mempunyai paras kedalaman yang tinggi. Cuaca panas juga akan mempengaruhi tabiat ikan kelah. Ikan kelah sangat sensitif dengan perubahan suhu. Ikan kelah mampu bertahan pada suhu yang sangat rendah seperti mana suhu air di tengah pergunungan tetapi malangnya ikan kelah tidak mampu bertahan pads suhu yang tinggi. Ikan kelah akan bertindak di luar jangkaan seperti melompat keluar dari kolam jika suhu air berubah tinggi mendadak. Saya sendiri pernah menyaksikan satu peristiwa benar yang tidak ramai berpeluang mengalami. Ia melibatkan perbandingan dua jenis ikan bersisik yang saya pelihara di dalam kolam yang sama. Ikan kelah tidak ada nasalah hidup bersama ikan lain di dalam satu kolam asalkan ikan tersebut jenis bersisik dan bukan ikan pemangsa contoh ikan haruan atau toman. Pada ketika hujan dengan amat lebat air masuk mencurah-curah ke dalam kolam melalui gutter rumah. Apa yang berlaku selepas itu saya dapati beberapa ekor ikan tilapia dewasa telah timbul tercungap-cungsp manala ikan kelah tidak menunjukkan sebarang reaksi. Ketika air deras ikan kelah akan duduk dipenjuru kolam mengelakkan diri dari dihanyut arus deras. Inilah yang berlaku di sungai yang sebenar. Bagi mereka yang memelihara ikan kelah di dalam kolam ketika musim panas atau kemarau anda akan dapati paras air kolam anda akan menyusut dengan drastik. Anda perlu tambah ait kolam dengan air dari sumber lain. Ada pelbagai sumber air boleh anda gunakan sama ada air bawah tanah, air sungai, air kolam, air perigi , air tadahan hujan dan yang paling mudah ialah air paip. Semua sumber air tadi adalah selamat dari bahan kimia lazimnya kecuali air paip.Air paip mengandungi paras klorin yang sangat tinggi. Air paip mengandungi klorin yang tinggi bertujuan membunuh mikrob atau hidupan halus air sebelum air dihantar kerumah kita. Ada banyak cara untuk menambah paras air kolam dengan air paip antaranya ialah dengan memasukkan salur paip terus ke dalam kolam sehingga paras air naik separuh dari paras asal air kolam kemudian tambahkan cecair anti-klorin mengikut sukatan dicadangkan. Cara ke dua dengan menakung air ke dalam tangki besar lalu membiarkan beberapa hari sebelum ditambahkan ke dalam kolam. Cara pertama adalah lebih praktikal dan mudah serta cepat. Ikan kelah tidak ada masalah dengan paras air rendah atau cetek asalkan air sentiasa bergerak . Kegagalan menyediakan air bergerak sepertimana dalam persekitaran sebenar boleh menyebabkan ikan kelah bertindak di luar jangkaan termasuklah melompat keluar atau bertindak agresif dengan melanggar tembok atau dinding yang boleh mencederakan diri sendiri dan akhirnya meyebabkan kematian.

No comments:

Post a Comment